Berjalan..Melihat..Mentafsir..

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

“Costantinople itu pasti akan dibebaskan, Sebaik baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya, dan sebaik baik tentera adalah tentera (yang menawan) nya.”

.

Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sekalian Alam.

.

Hari ke-80 aku di Syria. Allah menggerakan aku untuk berjalan mengembara ke bumi yang pernah digegarkan dengan kehebatan pemerintahan Uthmaniah.

.

turkey

.

Turki ialah sebuah negara yang terletak di utara Syria dan mengambil masa hanya kurang 5 jam untuk ke sempadannya. Tetapi pengembaraan untuk ke sebuah kota lama, Istanbul, tidak semudah yang disangka. Alhamdulillah, nikmat tenaga muda yang masih Allah berikan memberikan kekuatan untuk aku duduk di dalam bas hampir 18 jam perjalanan. Berhenti untuk berehat tidak sampai 15 minit hanya perkara biasa.  Sungguh mencabar kedudukan tulang pinggulku.

.

Image057

-Pengembaraan itu-

.

Jangan merungut dan selalu positif. Itu yang aku selalu ajarkan pada diri ini. Kata sifuku sangka baik dengan Allah selalu memudahkan semua benda. Berfikir seperti itu lah menguatkan lagi semangatku untuk mengembara. Alhamdulillah.

.

odw

-melayan tumbuhan-

.

Sebelum kita mengembara lebih jauh elok kiranya kita kenali serba sedikit mengenai Kota Istanbul. (Maklumat ini berdasarkan sumber bacaan aku. Salah silap mohon tunjuk ajar.)

.

Turki, nama sebuah negara yang tidak asing lagi dengan gelaran syurga dunia oleh kecantikan tempatnya. Tetapi apa yang lebih penting ialah sejarahnya. Kota ini dahulunya dikenali sebagai Konstantinople dan menjadi ibu kota selama ribuan tahun oleh Kerajaan Byzantine yang sangat kebal. Pelbagai cara pernah dilakukan untuk menakluk kota itu bermula dari zaman Kerajaan Umayyah juga oleh Kerajaan Abbasiyah. Namun ke semuanya gagal.

.

Sultan_Muhammad_Al-Fateh

-tokoh terbilang-

.

Akhirnya Tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad bin Murad atau Sultan Muhammad II dipilih oleh Allah untuk menawannya pada 20 Jamadil Awwal 857H bersamaan 29 Mei 1453. Sultan Muhammad II yang kemudiannya dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh (Mehmet The Conquerer) ini telah menjadikan kota ini sebagai ibu kota Kerajaan Uthmaniyyah dan menamakannya sebagai Istanbul. Sejarah telah melakarkan kisah bahawa pemuda ini telah berjaya menguasai kota Constantinople selama 53 hari tanpa rasa jemu dan jauh sekali berperasaan putus asa. Beliau ketika ini berusia 21 tahun dan sudah berjaya mengembangkan Islam di hampir 20 buah negara. Subhanallah.

.

Anak muda yang hebat. Cemburu hati ini memikirkan diri yang masih serba kekurangan ketika usia melonjak saban tahun tanpa sumbangan yang besar untuk Islam.

.

Hadis yang pernah di sabdakan berlegar di dalam otak aku ketika dalam perjalanan. Pelbagai persoalan timbul dan bermain di fikiran. Sungguh mengkagumkan.

.

Jam hampir menunjukkan 4 pagi. Aku tersedar dari tidur. Tak sempat pula aku nak kira kali ke berapa puluh ribu aku tidur, tapi masih belum tiba ke destinasi. Untungnya kerusi sebelah aku tidak berpenghuni, lebih aktif la aku berkuak lentang dan gaya bebas. =)

.

Suasana awal pagi itu bas meluncur di sebuah bandar dan aku terlihat papan tanda selamat tiba ke Istanbul. Hati menguntumkan senyuman. Allah beri aku kesempatan untuk selamat sampai ke Istanbul.  Alhamdulillah.

.

Mata sudah tidak terpejam lagi. Dari dalam bas kelihatan Istanbul sebuah kawasan yang berbukit-bukit yang berhampiran dengan laut.

.

Fikiranku mula mengimbau sejarah bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin tentera dengan kebijaksanaannya. Bagaimana dia memindahkan 70 buah kapal tenteranya merentasi bukit untuk menyeberang ke kawasan musuh dalam masa 1 malam setelah dihalang di jalan laut.

.

Sejarawan Byzantine pernah berkata, “ tidak lah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib ini, Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan”.

.

Subhanallah. Sungguh anak muda terpilih itu dikurniakan akal fikiran yang bernas untuk mengembangkan Islam.

.

que

-Masjid Biru-

mas

-kawasan dalam-

.

Setelah berhempas pulas melayan gegaran di dalam bas akhirnya kaki ku selamat melangkah di Istanbul. Alhamdulillah. Dalam dingin subuh kaki melangkah, di selangi sahutan azan subuh yang mendayu aku menuju ke Masjid Sultan Ahmad. Masjid yang diilhamkan oleh arkitek Mehmet Aga ini didirikan pada tahun 1609-1616 Masihi ia disebut juga dengan nama Masjid Biru.

.

subuh

-subuh yang dingin-

mimbar

-mimbar-

.

Aku habiskan masa di Istanbul ke tempat-tempat bersejarah seperti Tokapi Palace yang pernah menjadi pusat pentadbiran Islam suatu ketika dahulu. Muzium Aya Sofya yang dahulunya sebuah gereja kemudian ditukarkan menjadi masjid dan kini hanya sebuah muzium. Dan beberapa tempat lagi.

.

tokapi

-tokapi palace-

.

bazar

-bazar-

.

Kawasan sejarah di Istanbul ini tidak lah begitu jauh jaraknya, jadi berjalan kaki adalah pilihan utama untuk menikmatinya. Aku hanya mendapatkan maklumat-maklumat sejarah ini berdasarkan buku yang dibeli di hadapan Masjid Sultan Ahmad. Mungkin masih banyak lagi yang perlu aku gali untuk perkongsian bersama.

.

bunga

-musim bunga-

.

Istanbul kini tidak lagi seperti dahulu. Dakyah barat dan yahudi telah banyak meninggalkan kesan terhadap masyarakat Turki. Walaupun kelihatan begitu pesat pembangunannya, tetapi sayangnya bersiar-siar di Istanbul terasa seperti menonton wayang barat tanpa tapisan di sana sini. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua.

.

ss

-ciptaan tuhan-

.

Kali ini cukuplah rasanya menghayati dan berfikir bagaimana keunggulan Sultan Muhammad Al-Fatih yang menghabiskan masa mudanya untuk berjuang menyebarkan Islam. Di manakah kita menghabiskan usia muda kita?

.

tt

-senja di Istanbul-

.

Mungkin jika diizinkan Allah, aku akan datang lagi ke Istanbul bersama isteri rakan turki yang mungkin lebih mengetahui secara mendalam sejarah Islam di sini. Atau mungkin dapat berjumpa wakil sahabat GPTD Turki saudara Faiz yang difahamkan sedang bercuti di Malaysia sekarang ini.

.

jj

-aiskrim tradisi-

.

Bagi mereka yang mungkin ingin mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sejarah ketokohan Sultan Muhamad Al-Fatih boleh terus melayari blog Grup Al-Fatih GPTD.

.

Terima kasih Ya Allah yang menemani ku disetiap perjalanan. Terima kasih sahabat-sahabat yang banyak membantu. Semoga Allah mengampunkan kesalahan kita bersama.

.

rr

-laut yang pernah menjadi saksi-

.

Semoga pengembaraan yang singkat  ini senantiasa dipimpin oleh Allah untuk aku menjadi seorang yang meneladani kepimpinan Sultan Muhamad Al-Fatih dalam memperbaiki diri dan masyarakat untuk lebih mengenal keindahan Islam. Amin Ya Allah.

.

Astaghfirullah…Astaghfirullah…Astaghfirullah…

.

“Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah memudahkan untuk kemudahanmu apa yang ada di langit dan di bumi, dan telah melimpahkan kepadamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan batin?”

(Surah Luqman, ayat 20)

.

Misi Rahmatan lil Alamin

Renungan

buah

.

Bayangkan, nak persembahkan hadiah buah-buahan kepada Raja, tapi buah-buahannya busuk, berulat, pinggannya kotor dan sompek. Dah tu, main campak-campak pulak. Jangankan Raja, sampai kat pintu pengawal lagi dah kena reject! Siap dimaki hamun lagi. Gitulah gamaknya kalau kita persembahkan ibadah-ibadah cincai kita seperti solat, puasa, haji, sedekah, tutup aurat dan macam-macam lagi…

.

Dipetik dari buku “I LOVE YOU TOO!!” Karya Badrul Hisham Shari.

.

Misi Rahmatan lil Alamin.

Masjid Umawi

map

.

Kali ini aku nak tulis sikit mengenai tempat-tempat sejarah yang menarik di sekitar Syria. Tapi sebelum tu kita berkenalan dulu dengan Syria.

.

Syria (bahasa Arab:  secara rasminya Republik Arab Syria ialah sebuah negara di Asia Barat Daya yang bersempadan dengan Laut Mediterranean dan Lubnan di barat, Israel di barat daya, Jordan di selatan, Iraq di timur, dan Turkey di utara. Negara Syria moden ialah bekas mandat Perancis yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1946, tetapi memerikan sejarahnya seawal alaf ke-4 SM; ibu negaranya Damsyik pernah dijadikan pusat pentadbiran Empayar Umayyad dan sebuah ibu wilayah Empayar Mamluk.

.

Syria mempunyai seramai 19.3 juta orang penduduk, kebanyakannya penganut agama Islam Sunah berbahasa Arab iaitu 74% daripada seluruh populasi. Golongan Muslim lain termasuk mazhab Alawit pada 11%, Druze dan mazhab Islam lain pada 5%. Terdapat juga pelbagai mazhab Kristian yang membentuk 10% daripada seluruh populasi.  (Wikipidia)

.

Itu secara ringkas la pengenalan Syria atau Syam. Bumi Syam ni sebenarnya pada zaman dulu meliputi empat buah negara sekarang iaitu Jordan, Palastin, Lubnan dan Syria. Damsyik berfungsi sebagai pusatnya.

.

Damsyik, ibu kota Syria, sering disebut juga satu-satunya kota tertua di dunia yang masih dihuni manusia jika dibandingkan dengan kerajaan tamadun-tamadun dahulu.

.

Menurut seorang sahabat aku yang dah lama tinggal di sini, Rasulullah pernah berdoa untuk keberkatan bumi syam ini. Mungkin sesiapa yang pernah terbaca hadis ni boleh komen sikit untuk perkongsian bersama.  =)

.

masjid

.

Tempat pertama aku ziarah ketika sampai di sini dulu ialah Masjid Umawi. Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umawi al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umawi pada tahun (86 – 96 Hijrah) (705 – 714 Masehi) di bandar Damsyik, Syria sebagai Ibu Kota pemerintahan kerajaan Umaiah pada waktu tersebut.

.

Ia didirikan di atas tanah yang sudah beribu-ribu tahun menjadi pusat peribadatan dan awalnya merupakan tempat ibadah bangsa Aram yang menyembah Dewa Hadad, iaitu bangsa Arab Suryani kuno sejak 3000 tahun sebelum Masihi. Di awal abad Masihi tempat ini telah berubah menjadi tempat ibadah penyembah Dewa Jupiter ad-Dimasqi (zaman Romawi) dan ketika agama Kristian berkembang di Damsyik  pada abad ke-4 Masihi tempat ini berubah menjadi gereja yang bernama “St. John the Baptist Basilica”.

.

Pada zaman kekuasaan Romawi, penduduk asing tidak mudah memasuki kota Damsyik, karena kota itu dikelilingi tembok yang tinggi. Mereka yang ingin memasuki kota Damsyik  mesti  melalui tujuh pintu utama yaitu Bab Syarqi, Bab Jabiyah, Bab Kisani, Bab Shaghir, Bab Touma, Bab Janiq, Bab Faradis.(kesannya masih ada sehingga sekarang)

.

Kekuasaan Islam sampai ke kota Damsyik pada tahun 14 Hijriyah (653 M). Ketika itu panglima Islam Khalid bin Walid memasuki kota Damsyik dari Bab Syarqi dan Amru bin Ash memasuki dari Bab Touma. Sementara pasukan Islam di bawah komando Sharbabil melalui Bab Faradis, Abu Ubaudah dari Bab Al-Jabiyah dan Yazid bin Abi Sofyan pula dari Bab Shaghir.

.

malam

.

Sejak Islam masuk ke Damaskus umat Islam dan Kristian bersepakat untuk membahagi tempat ibadah tersebut menjadi dua bahagian, sebelah timur Masjid dan sebelah barat Gereja. Mereka beribadah secara bersama-sama dalam suatu tempat yang hanya dipisahkan oleh dinding pemisah. Umat Islam mengumandangkan azan, sedangkan Kristian membunyikan lonceng. Keadaan ini berlaku kurang lebih 70 tahun iaitu sehingga tahun 705 M.

.

Sehinggalah  Khalifah Al Walid bin Abdul Malik berfikir untuk membangunkan sebuah Masjid yang megah sesuai dengan keperluan kaum Muslim dan pemerintahan Islam waktu itu. Berdasarkan hasil musyawarah antara kedua belah pihak (Islam dan Kristian) maka sebagai gantinya Khalifah mengizinkan dibangunkan gereja-geraja di daerah Bab Touma dan sekitarnya. Selepas itu sekitar 10 tahun berdirilah Masjid Umawi yang besar dan megah dengan ukuran panjang 150 m dan lebar 100 m.

.

in

.

Di dalam masjid ini juga terdapat empat buah Mihrab (ruang imam) yang mana suatu ketika dahulu mereka bersembahyang mengikut mazhab masing-masing.

.

makam nabi yahya

.

Di bagian Timur Masjid ini juga terdapat makan Nabi Yahya AS yang diyakini hanya kepalanya saja yang dimakamkan di sana.

.

malam

.

Maklumat ini aku dapat melalui orang-orang lama yang belajar di sini dan juga sedikit sedutan dari bahan bacaan. Mungkin masih banyak lagi kekurangan maklumat.  Saya budak baru belajar. Kalau salah tolong tunjukan.

.

Misi Rahmatan lil Alamin

March 18, 2010Permalink 4 Comments

Sekitar Kembara Ilmu Syria 2010

.

Nama mereka menghiasi ruang-ruang kitab dalam bidang pengajian Islam. Sebelum ini aku hanya mampu mendengar dan membaca sahaja karya-karya mereka.

.

Alhamdulillah. Allah masih memberikan aku peluang untuk duduk dan menadah secebis ilmu daripada mereka.

.

Sistem menadah kitab ini dinamakan talaqi. Tak semua tempat di negara arab mempunyai suasana begini. Tulisan ini tak dapat menggambarkan perasaan dikala duduk menatap wajah syeikh-syeikh ini.

.

 

Syeikh 'Abdus Sattar

.

Syeikh ‘Abdus Sattar

(Sahih Al-Bukhari)

.

Dr.Aiman asy-Syawwa

.

Dr.Aiman asy-Syawwa

(Nahu)

.

Syeikh As'ad as-Soghirjy

.

Syeikh As’ad as-Soghirjy

(Fiqh  Hanafi)

.

Syeikh Dr.Musthofa Dib al-Bugho

.

Syeikh Dr.Musthofa Dib al-Bugho

(Syarah Sahih Muslim)

(Kitab Tanwir Masalik)

(Usul Fiqh)

.

Syeikh Dr.Ramadhan al-Buti

.

Syeikh Dr.Ramadhan al-Buti

(Maqosid Syariah)

.

Syeikh Dr.Wahbah az-Zuhaili

.

Syeikh Dr.Wahbah az-Zuhaili

(Fiqh Syafie)

.

ust abu muhammad

.

ust abu muhammad

(Al-Quran)

.

Semoga Allah sentiasa memberkati Bumi Syam ini dengan limpahan mutiara yang sentiasa keluar dari mulut mereka yang hebat ini.

Ini hanyalah sebahagian sahaja syeikh-syeikh di Syria. Masih ramai lagi pewaris nabi di bumi ini. Semoga Allah memberkati mereka dan kita semua. Amin.

.

“muda sebelum tua…lapang sebelum sibuk…” semoga bermanfaat.

.

Misi Rahmatan lil Alamin

March 11, 2010Permalink 3 Comments

Malaysia Boleh!!!

ball.


.

“Hanya berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi dan semangat Malaysia boleh akhirnya lahirlah seorang lagi atlit negara. yang hebat. Tumpuan yang mendalam ketika sesi latihan di kampung orang asli Sungai Rual Kelantan tahun lalu menjadikan dia seorang pemain yang digeruni di dalam gelanggang arena bola tampar.”

.

Hahaha. Begitulah sedikit petikan di dalam ruangan sukan surat khabar harian Syria. (uwek)

.

Alhamdulillah. Hari ke 48 di sini mencatat satu sejarah yang akan membanggakan cucu aku satu hari nanti yang mana atok mereka ni seorang atlit negara. (asal muke korang cam x puas ati je? Jeles ke?)

.

Hujung minggu yang lalu, telah berlangsung sebuah acara sukan asia di peringkat pelajar-pelajar. Dan aku telah terpilih mewakili Malaysia untuk beraksi dalam sukan bola tampar. Berbekalkan pengalaman menampar orang dan nyamuk aku berjaya menyumbangkan beberapa mata untuk negara tercinta.

.

Walaupun tewas teruk di tangan Indonesia dan Thailand pada permulaan perlawanan  tapi ia tidak melunturkan semangat kami untuk bangkit dan akhirnya mengalahkan Singapura dan Filipina. Perlawanan berakhir dengan Malaysia menerima pingat gangsa bagi acara bola tampar.

.

Sejurus perlawanan tamat menteri belia dan sukan telah mengarahkan aku untuk pulang pada hari kemerdekaan nanti bagi acara penganugerahan atlit berpotensi.(tahan muntah anda!)

.

Akhir kata, badan yang sihat tidak akan menyusahkan orang untuk kita beribadah. Majulah sukan untuk negara.

.


Misi Rahmatan lil Alamin

February 28, 2010Permalink Leave a comment

Waras

syawarma lahm

.

Gempar. Dua hari lepas rumah sewa aku digegarkan dengan kehadiran persatuan makcik-makcik yang tak puas hati dengan ‘cara’ kami.

.

Ini adalah disebabkan oleh gangguan bau ikan bilis lama yang digoreng untuk santapan tengah hari. Bau ikan bilis goreng yang begitu enak bagi hidung orang melayu rupanya menjadi bualan makcik-makcik arab. Agaknya dendam bau masak kari, masak kurma dan pelbagai menu bujang akhirnya sampai ke kemuncaknya apabila bau ikan bilis mencucuk hidung mancung mereka. Hehe. Memang busuk pun. Ikan bilis zaman firaun kot yang digoreng balik tu. Siap nak buat laporan polis lagi. Hehe.

.

Beginilah nasib tinggal di rumah bertingkat-tingkat. Sebagai pengajaran buat kami semua agar tidak goreng lagi benda-benda pelik dari Malaysia. Pelik kah?

.

Haaaa….pendahuluan je tu..

Hari ke-42 aku berada di Syria. Antara ilmu lain yang aku dapat kat sini ialah memasak. Terbaik.

(Versi Tiada Huraian)

.

Misi Rahmatan lil Alamin

February 22, 2010Permalink Leave a comment

9.2.2010

.

Segala puji bagi Allah, hari ini masuk hari ke-33 aku berada di bumi Syam. Pelbagai ragam dan karenah manusia sudah dilalui. Menumpang di negara asing bukanlah sesuatu yang mudah dan selesa. Semoga Allah memberi kekuatan. Aku sedang menguruskan untuk pertukaran tempat belajar atas sebab tertentu. InsyaAllah berjalan lancar. Rumah tempat penginapan aku mengalami sedikit masalah. Aku habiskan hujung minggu lalu dengan acara perpindahan besar-besaran. Alhamdulillah, Allah permudahkan. Syria masih lagi dalam cuaca sejuk yang suhunya tidak menentu.

.

Termenung sendirian kadang-kadang hati berbisik mengapa aku di sini? Selesa? Memikirkan tanah air, keluarga, rakan-rakan membuatkan pelbagai tanda tanya berlegar di dalam fikiran.

.

Ramai yang tertanya-tanya untuk apa aku merantau, berjauhan dengan keluarga, rakan-rakan sedangkan sudah bergelar graduan. Kalau benar untuk mencari ilmu mengapa tidak sambung ke peringkat master? Mengapa perlu menghabiskan wang dan waktu?

.

“5 ke 6 bulan kalau kat Malaysia mesti boleh buat macam-macam, paling kurang pun dapat kumpul duit bayar pinjaman”.

.

Itu kata orang. Kalau difikirkan begitu selalu dalaman aku boleh lemah. Bagi aku pengalaman adalah cikgu yang terbaik dalam hidup ini. Aku akan gunakan pengalaman-pengalaman ini untuk lakukan sesuatu untuk rakyat Malaysia Islam khasnya suatu hari nanti. InsyaAllah.

.

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.
Al-Baqarah  : 214

.

Misi Rahmatan lil Alamin

February 9, 2010Permalink 2 Comments

Asap

Palestine.

.

Palestin

.

Gambar ini diambil sekitar perhimpunan perjuangan Palestin yang diadakan dengan jayanya di Syria. Bertakbir dengan semangat. Mencerca Israil sampai berbuih. Memijak bendera Israil dengan megah.

Tetapi…………….

Tak sempat habis majlis ,asap rokok dah berkepul-kepul dalam dewan. Macam mana nak lawan Israil kalau tak pandai nak hargai apa yang Allah bagi percuma. Badan,jantung, paru-paru, hidung orang sebelah yang tak merokok.

Semoga Allah memberi  hidayah.

.

Misi Rahmatan lil Alamin

Berdikari

.

17 Januari 2010

.

Dingin subuh mencengkam urat saraf seluruh badan. Aku mengurut tapak kaki yang kesejukan seperti ayam yang baru dikeluarkan dari peti sejuk.

.

Hari ini adalah hari pertama kelas aku bermula. Setelah segala persiapan sempurna aku bergegas untuk mendapatkan bas. Setelah seminggu aku berguru selok belok tempat ini bersama otai-otai, hari ini aku bersendirian. Kalau difikirkan takut sampai bilapun tak kemana. Cabaran yang selalu aku berikan pada diri menguatkan lagi ketahanan diri. “Mohd Shazni Mesti Boleh” kain rentang sebesar-besarnya dipasang di dalam hati.

.

Suhu di kawasan Damsyik dianggarkan dalam 9 ke 10 dajah setiap pagi. Gigil beb. Jam 9 pagi aku masih memeluk tubuh di tepi jalan menanti bas untuk menuju ke sekolah.

.

Bas yang aku naik meluncur laju setelah aku membayar tiket. Bas di sini tidak mempunyai loceng, ia akan berhenti di setiap perhentian yang disediakan. Bagaimana anda mahu turun jika kawasan anda jauh dari perhentian? “ala yamin ya mualim!!” (kanan la pakcik!!) jeritan ayat hikmat ini atau ayat yang sewaktu dengannya membuatkan pemandu bas akan segera memberi  isyarat untuk berhenti menurunkan anda. Jika tidak, berjalan di waktu pagi memberikan kesihatan yang baik untuk otak. Hehe.

.

Seorang lelaki berpakaian kemas, bertali leher masuk ke kelas dengan penuh keriangan seperti baru mendapat bonus gaji. Itu lah ustaz aku. Meriah kelas dengan pelbagai aksi lawak jenaka ala-ala jozan versi arab. Hari pertama di kelas aku sudah dibuli untuk menjadi pelakon sebagai pemandu kereta. Meriah. Alhamdulillah.

.

Semoga permulaan ini dipandu dan diberkati Allah.

Amin.

.

Misi Rahmatan lil Alamin

January 19, 2010Permalink 3 Comments

Alhamdulillah

ehem

.

Hari ini hari ke empat aku berada di bumi Damsyik. Aku masih lagi berurusan dengan beberapa orang di sini untuk urusan penginapan dan pembelajaran. Alhamdulillah, aku sudah meneroka hampir setengah dari tempat ini. Dari menaiki teksi, terpenyek dihimpit pak arab dalam bas kemudian van servis semuanya aku sudah mencuba. Permulaan yang baik untuk mencairkan taik telinga melayu. Aku gunakan minggu yang awal ini untuk proses mendengar dan mencuba dailek yang selalu digunakan. Setiap hari aku akan mengikut rakan ke pasar, bundle dan sebagainya untuk proses pertama ini.

.

Benarlah kata orang sebelum ini, arab Syria adalah bahasa yang sangat lembut lenggoknya. Subhanallah. Walaupun lembut, laju tetap laju selagi orang arab sini tak gagap. Aku ni lambat sikit nak selak-selak kamus dalam otak. Hehe. Semoga minggu permulaan ini merupakan panduan dan tarbiyah dari Allah untuk perjalanan aku yang masih jauh, InsyaAllah.

Misi Rahmatan lil Alamin.

January 12, 2010Permalink 4 Comments