[BEBELAN KELIMA] -cocos island-

18 Ogos 2012

Selesai meguruskan hal kematian aku terus balik ke rumah untuk bersiap-siap pula untuk doa selamat.

Hari terakhir puasa di sini dinamakan hari tebus puasa. Memang agak pelik bunyinya. Selepas sahaja solat Zohor Haji Adam akan mengepalai bacaan doa selamat.

Hari ini agak istimewa. Pulut kuning bersama ayam panggang lengkap diletakkan di tengah bulatan jemaah masjid untuk dibacakan doa selamat. Terliur juga dibuatnya. Tengah-tengah hari dah terhidang ayam panggang!

Selepas selesai doa selamat, pulut kuning itu akan dibahagikan kepada jemaah yang hadir. Selepas itu semua kami dijemput untuk pergi ke rumah-rumah yang sudah bersedia untuk dibacakan doa selamat.

Kanak-kanak di luar hanya menanti di luar rumah dengan memegang beg masing-masing. Aku hanya memerhatikan untuk menanti apa yang akan berlaku. Ucapan dari pengerusi majlis rupanya sangat panjang. Dia akan menyebut segala permintaan dari tuan rumah untuk dibacakan doa. Aku melihat tuan rumah berbisik di belakang pengerusi majlis. Rupanya itulah permintaan yang perlu disebut dan disambut ‘insyaAllah’ oleh Haji Adam.

Seperti contoh : “Haji…si polan minta supaya didoakan dia dan keluarganya dan juga kenderaannya dan juga sekolah anaknya dan juga kapalnya dan juga ayamnya dan juga itiknya dan bla bla blab la……” boleh bayang tak betapa panjangnya permintaan. Dari diri sendiri kepada keluarga dan seterusnya semua yang berkenaan dalam hidup tuan rumah tersebut minta untuk didoa selamatkan!

Seperti biasa tuan rumah akan meletakkan juga pulut kuning dan juga pelbagai jajan di sekelilingnya untuk berkat.

Ketika doa dibacakan dahi terkerut juga mendengar Haji Adam menyebut nama Syeikh Qadir, Syeikh Abas dan bermacam macam lagi…tawasul rupanya.

Aku hanya terdiam melihat gelagat adat budaya mereka.

Selesai doa dibacakan semua makanan tadi akan dibahagikan juga. Kanak-kanak akan masuk menyerbu jajan yang sangat enak. Aku sempat mengambil coklat Cadbury dan juga keropok ring-ring! Hehe..cukuplah…

Itu baru sebuah rumah. Kalau sepuluh buah rumah? Patut lah kanak-kanak tadi membawa beg. Pulangnya nanti seolah olah baru balik membeli belah jajan di Giant Batu Cave lagaknya. Fuhh…meriah..

Malam raya menjelang.

Tiada dentuman mercun di sini. Selesai makan selepas maghrib aku terus ke masjid. Ada takbir di sana. Kelihatan sudah ramai manusia di situ. Aku duduk di luar bersama atok-atok yang nakal tak mahu masuk bertakbir.

Tak pandai nak tutup takbir katanya. Takbir boleh, tapi ayat yang akhir tu tak hafal la pak ustat! Aku hanya tersenyum.

Air teh, kopi dan juga air tin tersedia di luar untuk diminum. Takbir di sini sebolehnya sehingga lewat pagi lagi bagus kata mereka.

Anak-anak kecil akan berkeliaran tanpa arah tujuan malam ini. Sudah menjadi kebiasaan di sini. Budaya mereka. Malam yang panjang di sini. Jam 7 suku sudah isyak.

Generasi berbeza, citarasa yang sama.

Jangan sampai terlepas sembahyang raya sudah la~

.

-Misi Rahmatan lil Alamin-

August 24, 2012Permalink Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *