Bukan Apa Yang Dilihat, Tetapi Bagaimana Melihatnya

“Sistem nilai diri menentukan sama ada mata kita mata lebah atau mata lalat”

Seorang nyonya tua melintas jalan memikul bakul yang penuh dengan ubi kayu. Badannya bongkok terserlah beban beratnya ubi kayu yang dipikul. Berseorangan tanpa berteman. Mengusap peluh yang mengalir laju dari dahi yang berkedut.

“Kesian aku tengok nyonya tu. Dah tua pun masih buat kerja berat lagi. Mana pergi anak dia. Tak patut betul anak dia biar ibunya buat kerja teruk macam ni,” ujar Ehsan kepada Taufiq.

“Itu pandangan mata kau. Tapi pada mata aku. Ada suatu yang kita perlu belajar daripada hidup nyonya tu. Walaupun dia dah tua, tetapi sikap dia yang tidak meminta-minta kepada orang lain.

Mungkin itu yang diajar oleh masyarakat Cina.

Bekerja hingga ke hujung usia.

Lagipun dalam agama kita sendiri, kerja dan urusan dunia tidak terpisah dari perihal akhirat. Bukankah jika kita bekerja sehingga akhir usia dalam keadaan mencari rezeki yang halal dan hasilnya disalurkan kepada yang perlu itu satu ibadah.

Cuma orang kita yang selalu sangat membahagikan usia mereka kepada tempoh kerja dan tempoh ibadah. Lalu akhirnya wujud pemikiran ‘beribadah selepas pencen’,” hurai Taufiq dari sudut pandang agama yang amat positif.

“Tak terfikir pulak aku. Yang aku nampak hanya negatif saja. Yang buruk saja mata aku menangkap,” Ehsan tunduk malu dengan gaya pandang negatif ia melihat sesuatu peristiwa.

“Tidak mengapa…cara manusia melihat itu berbeza. Aku melihat dari sudut yang lain. Kau lihat dari sudut yang lain. Persitiwa sama, kesimpulan berbeza. Namun kita kena bijak melihat dengan cara yang positif.

“Sebenarnya ada satu kisah motivasi yang terkenal di Amerika Syarikat. Ianya kisah duka seorang isteri juga merupakan ibu kepada dua orang anak kembar. Dia berkahwin dengan lelaki pilihannya. Malang sekali, setelah berkahwin dia baru mengetahui bahawa suaminya merupakan seorang penagih dadah tegar.

Setiap hari dia akan menanti kepulangan suaminya. Sudah pasti hidangan pukulan, tendangan dan tampar dari si suami menjadi rutin harian. Suaminya akan pulang dalam keadaan menggigil dan membelasah si isteri yang enggan memberikan wang kepadanya. Ketagihannya yang melampau membuatkan isteri terpaksa bekerja keras mencari wang untuk menyara kedua anak kembar mereka.

Yang lebih menyedihkan, setiap kali si isteri dibelasah suaminya, perbuatan itu diperhatikan oleh kedua-dua anak mereka. Fenomena ini memberi kesan yang mendalam kepada kedua-dua anak tersebut.

Masa berlalu pantas, rumah tangga ini punah sama sekali. Si suami kemudian meninggal dunia dengan mulut berbuih di bawah jambatan. Si isteri pula tidak lama kemudian meninggal dunia akibat kesan tekanan yang sangat dahsyat. Tinggallah kedua-dua anak kembar ini meneruskan kehidupan sendirian.

Bertahun-tahun kemudian orang menemui seorang daripada kembar tersebut sedang hancur ketagihan dadah terbongkang di bawah jambatan. Di mana saudara kembarnya? Mereka menemuinya di wisma miliknya sendiri di bawah nama syarikat guaman paling terkemuka. Dia menjadi seorang peguam hebat. Ketika ditanyakan kepada mereka berdua tentang nasib hidup yang berbeza, jawapan kedua-duanya adalah sama.

“Saya tengok apa yang ayah lakukan.”

Seorang melihat kemusnahan itu dan menirunya.

Seorang lagi melihat benda yang sama dan bertekad untuk segera membesar bagi membebaskan ibu daripada seluruh kesakitan itu!!

Seorang lagi melihat kehidupan lampau mereka dan motivasinya musnah. Sementara yang seorang lagi melihat kehidupan lampau sebagai pendorong motivasi.

Dua anak membesar daripada susuan ibu yang sama, tinggal di rumah yang sama, bermain di lorong yang sama, makan hidangan yang sama serta menyaksikan semua benda yang sama, tetapi membesar sebagai manusia yang berbeza. Si penagih melihat perangai si ayah untuk dijadikan ikutan. Si peguam melihat perjuangan ibunya membuatkan ia gigih menegakkan keadilan.

Bukan apa yang dilihat, tetapi bagaimana seseorang melihatnya. Itu lebih penting!” Cerita taufiq dengan panjang lebar menyedarkan Ehsan dari lamunan.

Akhirnya mereka membuat kesimpulan, pandanglah peristiwa seperti mata lebah. Segala bau busuk, najis dan kotoran ditolak ketepi. Namun lebah terus mencari bunga lalu mencipta madu. Bukannya seperti pandangan mata sang lalat. Haruman dan bunga ditinggalkan. Mencari najis dan kotoran membiakkan penyakit dan melumpuhkan alam.

by:imam muda asyraf.

December 28, 2012Permalink Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *