Perjalanan Membina Masjid

Entri ini agak panjang. Tapi tak rugi jika diluangkan sedikit masa untuk membacanya. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang kepingin bernikah. Maaf sumbernya tidak dinyatakan. Hasil perkongsian daripada seorang sahabat kepada sahabatnya epah. Aku cuma panjangkan je lagi.

gambar hiasan

Ada sebuah pepatah Arab yang bermaksud, ‘Ilmu agama itu terpenggal di celah kangkang wanita.’

Pepatah itu cukup bermakna bagi mereka yang berazam mahu menuntut ilmu hingga ke mati. Bagi mereka yang mengambil keputusan berkahwin, makna pepatah itu perlahan-lahan meresap dalam kehidupan. Pemahaman tentangnya berevolusi mengikut tahapan-tahapan dalam kehidupan berkeluarga.

Ketika cuma berdua dalam rumahtangga, suami yang mahu menuntut ilmu harus cekal menghadapi tentangan-tentangan halus dari sang isteri. Daripada bujukan supaya masa luang yang dahulunya di habiskan di hadapan tuan guru kini harus dihabiskan disisinya, kepada rengekan mahu mengikut ke mana sahaja si suami pergi. Jika ditinggalkan si isteri pasti merungut. Jika dibawa pula, suami terasa terbeban dengan pelbagai limitation baru : masa menunggu untuk bersiap, tidak boleh lama-lama berbual dengan tuan guru atau rakan sepengajian selepas habis kuliah, tidak boleh join majlis-majlis ‘ad-hoc‘ yang sering sahaja ada. Untuk bepergian jauh-jauh juga sudah menjadi semakin payah. Isteri mengumam takut-takut kalau si suami berlaku curang di tempat yang jauh itu.

Apabila beranak-pinak, masalah lain pula timbul. Jangankan hendak ke kuliah, kadangkala hendak ke masjid yang dekatpun sudah semakin payah. Bayangkan tatkala azan sudah berkumandang, si anak tiba-tiba membuang air besar dan hanya mahu dicuci oleh si suami. Mahu tidak mahu suami terpaksa menukar baju, menyelesaikan si anak yang kadangkala akan meragam dan tidak mahu ditukar lampin dan segala macam kerenah lain. Waktu solat jemaah di surau atau masjidpun sudah berlalu bila semuanya selesai. Di hari yang lain pula, anak merengek minta disuapkan makanan, atau terjatuh ketika sedang bermain, atau tiba-tiba demam sambil muntah-muntah. Di waktu yang lain, si anak menjerit-jerit mahu mengikut apabila melihat bapanya sudah bersedia dengan baju Melayu dan berkopiah di kepala. Akhirnya, si bapa terpaksa membatalkan niat berjemaah di surau.

Seorang lelaki yang (akan) bergelar suami atau bapa dengan itu perlu bersiap dengan sifat tabah dan sabar. Sebaik sahaja menikahi seorang perempuan, ruang untuk mendalami ilmu agama akan menjadi sukar. Bak kata seorang ustaz, kalau ibarat buah, sudah sampai hujung musim. Maknanya persiapan ilmu agama kena disiapkan sebelum bernikah.

Kemudian, sesudah bernikah dan beranak-pinak, keazaman dan pemahaman perlu teguh tentang makna pengabdian kepada Allah. Dalam banyak keadaan, apabila situasi tidak mengizinkan dan taqdir Allah berlawanan dengan kehendak dan naluri, lelaki itu harus segera membetulkan tekad dan niat, dan bertafakkur melihat suasana. Jika keadaan itu ternyata masih dalam lingkungan syari’ah maka haruslah mengubah khidmahnya kepada tuan guru dan sahabat-sahabatnya kepada khidmah atas kehendak isteri dan anak-anak.

Sesungguhnya hanya apabila sudah berkahwin dan beranak-pinaklah baru kita atas benar-benar menghayati doa yang kita panjatkan kepada Allah: Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatina qurrata a’yun waj’alna lil muttaqina Imama.

Iaitu yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami, jadikanlan anak-anak dan isteri kami penyejuk mata*, dan diri kami Imam Penunjuk bagi golongan yang bertaqwa**.”

* iaitu boleh juga difahami melalui doa ini kita meminta supaya Allah tetap mempositifkan pandangan mata kita kepada mereka walaubagaimana dahsyatpun kerenah mereka, supaya Allah tetapkan kita dengan kesabaran dan tidak (contohnya) memukuli mereka dengan emosi amarah melainkan dengan niat mendidik semata-mata.

** bukan sahaja ini merupakan harapan bahawa mereka akan menjadi bertaqwa, bahkan ia juga mempunyai harapan bahawa diri kita pun termasuk dalam golongan bertaqwa itu, malahan menjadi yang terbaik dari kalangan mereka yang bertaqwa.

Ya Allah jauhkanlan kami dari hilang sifat sabar dan hikmah dalam urusan keluarga kami semoga dengan itu jadilah kami ini golongan yang bertaqwa, amin.

p/s: Buang yang keruh ambil yang jernih

December 22, 2010Permalink Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *