Harum Mewangi

Pemuda tampan itu menjual kain dari rumah ke rumah.  Pada suatu hari, seorang wanita memanggilnya dan menyuruh masuk kerumah nya,  kononnya akan memudahkan wanita itu memilih kain yang  mahu dibeli.  Bagaimanapun, wanita itu jatuh hati kepada ketampanan pemuda tersebut.  Beliau memujuk rayu dan menggoda pemuda itu agar mencumbuinya dan kemudian melakukan zina.

Sedar bahawa wanita itu mengikutkan hawa nafsu dan kerana terlalu takut dengan azab Allah, pemuda itu menolak permintaan wanita itu.  “kalau kau tak mahu penuhi permintaan ku, aku akan menjerit dan akan memberitahu orang ramai bahawa kau merenggut kesucianku.  Mereka pasti percaya dengan cakap-cakap aku kerana kau berada dalam rumah ku”, ancam wanita itu.

Pemuda itu sangat bimbang dengan ancaman tersebut.  “kalaulah wanita ini benar-benar menjerit, pasti aku difitnah dan mendapat malu besar,” bisik hati pemuda itu.  Untuk mengelakkan berlakunya ancaman wanita itu, pemuda kacak itu pun memberitahu bahawa beliau setuju melayani kehendak wanita tersebut.

Bagaimanapun, sebelum itu, beliau meminta izin masuk ke bilik mandi untuk membersihkan tubuhnya.  Wanita itu sungguh gembira kerana dia yakin akan dapat memenuhi keinginan syahwatnya.  Didalam bilik mandi, pemuda itu mencari akal.  Beliau memohon kepada Allah agar memberinya petunjuk dan menyelamatkannya daripada melakukan perbuatan terkutuk itu.

Beliau cuba lari namun tingkap di bilik mandi itu tertutup rapat dan dimangga.  Akhirnya pemuda itu mendapat akal.  Walaupun berasa sangat geli melakukannya, pemuda itu tetapkan hati dan menyapu najis dan segala kotoran dalam bilik mandi itu ke seluruh tubuhnya dengan harapan apabila beliau keluar nanti, wanita itu akan berasa jijik terhadapnya.

“Ya Allah, kerana aku terlalu takut kepada Mu, aku lakukan ini agar aku selamat daripada wanita itu.  Tetapi Tuhanku, kurniakanlah aku dengan kebaikan sebagai gantinya”, doa pemuda itu.

Setelah berdoa, pemuda itu keluar dari bilik mandi dan menemui wanita itu.  Melihatkan seluruh tubuhnya dilumuri najis dan berbau sangat busuk, wanita itu hampir muntah dan berasa sangat marah.  Pemuda itu dihalaunya keluar dari rumahnya.  Apabila diusir, pemuda itu secepat kilat keluar dan berasa sangat lega.

Dan sebagaimana doanya, Allah mengabulkan permintaannya dengan memberikan ganjaran setimpal keatasnya.  Anugerah Allah itu berupa bau wangi yang sangat mengasyikkan  yang melekat pada tubuhnya hingga beliau meninggal dunia.  Sesiapa saja dapat menghidu bau wangi tubuhnya dari jarak berapa meter jauhnya hingga beliau digelar ‘Al-Misky’ yang ber maksud harum.

Apabila beliau meninggal, pada batu nisannya dituliskan “Inilah pusara Al-Misky”

March 28, 2009Permalink 1 Comment

One thought on “Harum Mewangi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *