Tugas besar didik generasi muda Orang Asli

PEMBABITAN Orang Asli dalam gerakan dakwah semakin meluas apabila mereka yang berpengetahuan agama diberi peluang menjadi guru al-Quran untuk mendidik generasi baru mereka ajaran Islam di pedalaman Hulu Kelantan.

Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) menempatkan guru al-Quran di setiap pos perkampungan Orang Asli di Gua Musang bagi memantapkan perkembangan syiar Islam bagi saudara baru.
Bimbingan guru al-Quran penduduk Orang Asli terbukti lebih berkesan kerana mereka memahami cara hidup masyarakat sendiri terutama golongan muda.

Seorang guru agama Orang Asli di Pos Tuel, Angah Amat, 38, berkata apabila membimbing generasi muda mendekati al-Quran, seseorang itu tidak boleh putus asa.

Katanya, di peringkat awal memang sukar terutama kerenah dan keengganan kaum itu belajar agama selepas memeluk Islam.

“Selepas beberapa kali mendapat bimbingan, mereka datang dengan kerelaan sama ada bersolat berjemaah atau mengaji al-Quran.

“Bagi solat Subuh, Zuhur dan Asar, kita menghadapi sedikit masalah kerana kebanyakan mereka masih di hutan mencari rezeki,” katanya.

Beliau yang lima tahun dilantik sebagai guru agama di pos itu memahami kerenah kaum terbabit kerana kebanyakan mereka buta al-Quran dan jarang bersolat.

“Namun, kita akan terus berdakwah menggunakan pelbagai pendekatan bagi memberi kesedaran ke surau mendalami ilmu agama, katanya.

Beliau turut terbabit membimbing remaja yang baru berumah tangga mengambil bahagian dalam kelas al-Quran setiap hari.

“Kebanyakan pasangan remaja yang baru berumah tangga dan memeluk agama Islam memerlukan bimbingan bagi mengajarkan mereka amalan mulia dan meninggalkan perkara yang ditegah Islam,” katanya.

Sumber: Harian Metro

February 5, 2009Permalink Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *